Kalau gua memerlukan seorang LELAKI untuk mengira dari satu hingga sepuluh, John bukanlah orang yang gua cari. Hal ini bukanlah kerana otak John yang lebih kecil dari mata beliau, tetapi kerana jantina John itu sendiri yang tidak dapat gua kenal pasti.
Pengalaman memotong janggut dan misai bukanlah satu kriteria yang diambil kira semasa ujian memandu kereta dijalankan. Tetapi kajian Sulaiman, Jeffri, Muthu, Zizan et. al mendapati pemandu yang tidak mempunyai pengalaman memotong janggut dan misai biasanya lebih cemas semasa memandu kereta berbanding mereka yang berpengalaman memotong janggut dan misai. Oleh itu, tindakan Mimi meminta John untuk memandu Unser Rally Dakkar sebenarnya adalah satu keputusan yang tidak begitu bijak. Mimi dan Ajis hanya mampu berdoa di sepanjang perjalanan dari Tapah ke Simpang Pulai. Gua mengucap dalam hati sebelum berpura-pura tidur.
Kecemerlangan ekspedisi sebelum ini diteruskan apabila kami tiba di Kampung Raja pada jam 3.30 pagi. Pemanduan jitu Mimi dari Bukit Subang ke Tapah berjaya menutupi kelemahan pemanduan John. Kami semua melelapkan mata di perkarangan Masjid Kampung Raja setelah beberapa kali membuat intersection untuk mencari bearing masjid tersebut.
Selesai menunaikan kewajipan, kami bergerak ke Pekan Kampung Raja untuk bersarapan. Malang sekali kedai makan yang selalu dikunjungi tidak dibuka. Gua percaya tuan punya kedai makan tersebut telah bersiap awal untuk pergi ke pusat penamaan calon. Mungkin juga dia akan bertanding di kawasan DUN Kampung Raja.
Unser Rally Dakkar meneruskan perjalanan ke starting point sebelum berpatah balik ke Kampung MTD untuk diparkir. Perjalanan dari Kampung MTD ke starting point mengambil masa selama 57minit berjalan kaki. Sikap penyokong parti politik dapat gua lihat sepanjang gua berjalan kaki sambil cuba menahan kenderaan untuk ditumpang. Mungkin kerana keadaan Mimi yang kusut masai menyebabkan tiada orang yang ingin menumpangkan gua.
Kami memulakan perjalanan menuju ke Bukit Liyang pada jam 10 pagi dan disambut oleh bunyi chainsaw. Cilaka sungguh pembalak ini. Gua menjeling ganas sambil memegang parang di pinggang. Sebenarnya gua cemas juga. Mana boleh lawan chainsaw 2 kuasa kuda dengan parang 8 inci.
Objektif pertama kami adalah untuk berhenti makan tengah hari dan mengambil bekalan air yang ditinggalkan di Puncak Bertenang. Kami tiba tepat pada pukul 1230pm. Bekalan air yang ditinggalkan sudah dipenuhi alga. Berpandukan peta, kami akan menemui lebih kurang 5 punca sungai. Hal ini menyebabkan kami rasa memikul air yang dipenuhi alga ini adalah hal yang sia-sia. Kami meneruskan perjalanan selepas makan tengah hari lantas meninggalkan air berperisa alga tersebut.
Sesekali kami berhenti seketika untuk menyanyi gwiyomi beramai-ramai sebelum kami tiba di Puncak Bonsai Gersang (kemudiannya disedari inilah Puncak 1465 yang dicari-cari). Dari sini kami dapat melihat Puncak Gayong, Bukit Liyang dan Puncak 1167. Keadaan Puncak Bonsai Gersang yang nyaman dan dipenuhi lumut tebal dan pohon bonsai tidak melekakan kami untuk terus bergerak menuju ke Puncak Botak. Menurut John, Puncak Botak dapat dikenalpasti melalui ketinggiannya iaitu 1000m dari aras laut. Ajis melakukan tugas yang cemerlang apabila menebas trek menjadi sebesar-besar jalan.
Keraguan gua pada John dalam perenggan pertama akhirnya terbukti apabila kami berjaya mengesahkan Puncak Botak bukanlah terletak pada 1000m dari aras laut. Sebagai denda, John dikehendaki menyanyi gwiyomi sambil melakukan gaya sebelum tidur pada malam ini.
Pada ketika ini, sudah 3 kali usaha mencari air gagal. Gua bersikap tenang walaupun air hanya tinggal 6 botol. 2 lagi punca air juga gagal dijumpai menyebabkan air terpaksa dicatu. Sempat juga gua berfikir untuk bertindak seperti Bear Gryll (Man VS Wild) yang meminum air kencing beliau sendiri. Tapi memikirkan bahawa Bear Gryll tidak pernah lulus SPM, gua lupakan sahaja niat tersebut.
Kami tiba di Puncak Liyang pada jam 6.00pm. Keadaan puncak yang kecil dan berduri tidak memungkinkan kami untuk tidur di Puncak Liyang. Kami berpatah balik untuk mencari kawasan sesuai untuk dijadikan campsite.
Setelah memasang flysheet, Mimi sebagai orang yang paling berpengalaman membuat kelas unggun api. Gua belajar dengan tekun dan akhirnya berjaya menghasilkan unggun. Unggun api dipasang agar kami selamat dari gangguan binatang. Namun pada Allah jua tempat kita bermohon pelindungan. Api hanyalah sebagai asbab. Oleh itu janganlah sesekali anda meninggalkan solat.
Kekurangan air menyebabkan kami tidak dapat memasak nasi untuk malam ini. Kami menjamu ayam goreng, sayur tumis dan nugget sebagai makan malam dan diserikan dengan sedikit air liur masing-masing. Ketiadaan air juga menyebabkan kami tidur awal.
Perjalanan pulang dimulakan pada jam 10pagi dengan berbekalkan botol air. Trek yang lebih banyak mendaki menyebabkan kami cepat kehausan. Kekurangan air juga menyebabkan keadaan mental kami terjejas teruk. Mimi mula bercakap seorang diri manakala Ajis kadangkala menyamar menjadi unta.
Akhirnya pada pukul 1230pm, kami tiba di Puncak Bertenang semula. Air alga yang dipandang enteng semalam kini menjadi air yang paling sedap di dunia. John kelihatan tenang ketika menapis air tersebut menggunakan tuala good morning Mimi dan memasak air tersebut dengan menggunakan arang. Walaupun gua ragu-ragu dengan tindakan John, tapi gua minum jugak. Dahaga beb.
Kami berehat selama 2 jam setengah di sini sebelum memulakan perjalanan pulang pada jam 3.00 dan akhirnya tiba di jalan utama pada jam 3.45 petang.
Freemason dan zaman kacau
1 month ago

2 pendapat tak boleh pakai:
1. kalau ajis menyamar jadi unta, lu jangan menyamar jadi tukang sembelihan pulak.
2. sebenarnya lu orang buat kerja apa...
1. gua cuba menyamar air.haha
2. ni hobi.ada orang suka memancing.ada orang suka backpacking.kami suka masuk hutan.
Post a Comment