Track #2: Suratan Atau Kebetulan oleh Kenny, Remy dan Martin
"Aku rasa main basikal ni buat aku berfikir tentang kekuasaan Allah" gua bercakap sambil pasang tayar basikal.
"Korang ingat trip kita pergi Gua Cha? Betapa berkuasanya Allah sampaikan kita tak pernah berjumpa dengan lori masa kita downhill. Sedangkan setiap kali kita uphill mesti kita berselisih dengan 2 3 biji lori. Bayangkan kalau kita berselisih dengan lori masa tengah laju downhill. Masak kita nak mengelak. Silap-silap eksiden langgar lori" gua bercakap sambil setting brek basikal.
"Jalan mengenal Allah ni dipanggil tarikat. Boleh diumpamakan macam sebatang pokok. Akarnya ialah syariat. Batangnya ialah tarikat. Dan daunnya adalah makrifat. Aku rasa kita trip-trip kita banyak mengajar kita tentang siapa kita di sisi Allah" tambah gua lagi
"Ini tarikat mana yang kita ikut? Orang sibuk-sibuk bersiap sembahyang jumaat, kita sibuk-sibuk setting basikal" balas mimi padu.
Suasana jadi hening sehening-heningnya.
Yang pam tayar berhenti pam tayar.
Yang setting brek, berhenti untuk setting balik niat.
Yang tengah minyakkan rantai, pura-pura ambik wuduk.
Jam 12 tengah hari kami memulakan kayuhan dengan perasaan berbelah bagi. Gua pakai helmet fullface siap-siap. Takdela malu sangat bertembung dengan orang kampung yang dalam perjalanan nak ke masjid.
Cuaca yang panas terik, trek balak dan bukit depan mata sedikit sebanyak melemahkan semangat kami. Keputusan diambil untuk berehat di permulaan trek balak.
"Jom. Kuatkan semangat untuk kayuh" Nasir bangun dengan yakin.
Kuatkan semangat untuk kayuh? Gua nak bangun pun takde semangat dah ni.
Nasir steady kayuh di depan. Yang lain-lain steady tolak basikal kat belakang.
Hari ini kami target untuk bermalam di Pos Legap. Kira-kira 25km dari starting trek balak.
25km tidaklah jauh mana. Masa perjalanan boleh jadi 5 minit, 30 minit atau 4 jam bergantung kepada jenis orang asli yang ditanya. Ada juga jenis orang asli yang bagi jawapan ikut bilangan rokok yang dihisap. Jenis ni memang jenis orang asli yang sukar untuk diramal perilakunya.
Nasir macam biasa banyak mengayuh. Mimi punya perfomance satu level bawah Nasir. Maro dengan Names satu level bawah mimi.
Gua dengan Nije jugak yang rilek tolak basikal. Kadang-kadang kami bertanding siapa yang duduk paling belakang. Nak cepat-cepat sampai nak buat apa.
Pukul 230 petang kami berhenti makan tengah hari. Ini berhenti kali yang ke berapa gua dah tak ingat. Seingat gua, setiap 5minit tolak basikal kami akan berhenti 30minit. Kalau lu rajin, lu kira la berapa banyak kami berhenti.
Pukul 4 petang berhenti lagi. Kali ni kami berbincang bagaimana untuk memancitkan tayar Nasir yang tak berhenti-henti kayuh dari tadi. Menyedari niat jahat kami, Nasir terus bangun meninggalkan yang lain.
Mimi, Maro dan Names cuba mengejar. Gua dengan Nije jugak yang rilek. Hal-hal macam ni kita tidak perlu gunakan kekuatan. Kena guna kebijaksanaan.
Tak banyak peristiwa yang gua ingat selepas rehat pukul 4 ni. Sebab otak gua lebih cenderung memikirkan air sirap limau dan nasi paprik sambil menahan kaki krem.
Pukul 630, Nije menjadi orang yang terakhir sampai di Pos Legap. Nasir sampai pukul 530. Makan apa gamaknya budak ni?
Gua tengok Nije dah macam orang tak betul. Diam seribu bahasa melayan perasaan penat.
Biasalah. Hidup ini memang penuh dengan hal yang di luar jangkaan.
Siapa jangka ada suara lelaki lain di hujung talian masa kita call awek kita?
Siapa jangka pendrive yang kita pinjam dari awek kita ada design kad kahwin dia dengan lelaki lain?
Siapa jangka dah penat tolak 25km, elevation gain hanya 100m?
Suratan? Atau kebetulan?
End of Track #2
Freemason dan zaman kacau
1 month ago

0 pendapat tak boleh pakai:
Post a Comment