Locker adalah antara komoditi utama di sekolah asrama selain dari 'buri' dan 'hasil'. Pemilikan locker adalah relatif lebih mudah berbanding pemilikan buri dan hasil. Konsep pemilikan locker adalah siapa cepat dia dapat.
Maknanya, sesiapa yang datang awal ke sekolah akan mendapat locker yang cukup sifat. Locker yang cukup sifat ini menjadi rebutan kerana ia mempunyai 1 pintu yang boleh ditutup dan dibuka dengan mudah, mempunyai drawer dan mempunyai alang kayu untuk menggantung hanger dan tidak ada sebarang kopak di setiap dinding.
Yang datang lambat biasanya akan mendapat locker yang tidak cukup sifat seperti tidak mempunyai drawer, dinding sebelah kiri yang terkopak atau yang paling bangsat adalah locker yang mempunyai tulisan-tulisan di dalamnya.
Namun sesetengah orang menganggap tulisan-tulisan ini adalah bonus kepada locker. Apatah lagi sekiranya tulisan tersebut adalah petikan dari cerpen Selera Nenek Tiri. Hal ini akan diceritakan kemudian.
Atas semangat untuk mendapatkan locker yang terbaik, Mat Songkok telah tiba seawal jam 5 pagi di sekolah pada hari Sabtu. Hasilnya, Mat Songkok telah mendapat locker yang terbaik yang ada di dorm Cendekia 4.
Ajaibnya, konsep siapa cepat dia dapat ini jarang sangat digunapakai oleh senior-senior. Senior-senior lebih gemar memegang konsep, aku nak aku dapat.
Sebagai seorang senior, Yayaden telah menggunakan konsep ini dengan sepenuhnya.
“Mat Songkok!!!!!!” jerit Yayaden dari belakang dorm.
Terkocoh-kocoh Mat Songkok berlari.
“Aku nak locker kau. Kau ambik locker aku” ucap Yayaden tanpa memandang Mat Songkok.
“Tapi bang.....” jawap Mat Songkok
PANGGGGGGGGG.......
“Ok bang. Abang ambiklah” jawap Mat Songkok sambil mengusap pipi yang merah. Ada sedikit air mata menitis di jari Mat Songkok.
“Bagus. Hantar locker tu kat belakang sekarang. Aku nak kemas barang aku. Lepas tu pergi BDA beli mangga. Ni duit” arah Yayaden.
“Ok bang”
.........
“Mat Songkok!!!!!!” jerit Yayaden dari belakang dorm.
Terkocoh-kocoh Mat Songkok berlari.
“Mana mangga aku?” soal Yayaden.
“Tu atas katil bang”
Yayaden angkat tangan kanan tinggi-tinggi sebelum menghayun tepat ke muka Mat Songkok.
Tangan kiri Yayaden menggenggam erat majalah Mangga.

5 pendapat tak boleh pakai:
MAT SONGKOK = MAT BUNGA
aku ingat dia suruh beli buah mangga... hahaha
selera nenek tiri..hahaha
tak aci.. kenapa asyik mat songkok je yang kena? kesian dia..
SM,
hehe.ko pun baca mangga dalam tandas kan?
aku,
ada orang ingat suruh beli kain pelikat cap mangga..haha
matpih,
jangan cakap kau pernah baca..
siti zafira,
sebab mat songkok skema..hehe
Post a Comment